- Nor Hanifah binti Sukardi
- IKSN Kuala Langat
- Hits: 26
IKSN DAN JGA METERAI NOTA HASRAT PERKASA TENAGA KERJA PROFESIONAL INDUSTRI GOLF NEGARA
JASIN, 15 Oktober 2026 – Institut Kemahiran Sukan Negara (IKSN) terus memperkukuh jaringan kerjasama strategik bersama industri menerusi pemeteraian Nota Hasrat dengan Jeram Golf Academy (JGA) bagi memperkasa pembangunan kemahiran, pengiktirafan kompetensi serta meningkatkan kebolehpasaran tenaga kerja dalam industri golf negara.
Majlis pemeteraian tersebut berlangsung di Jasin Heritage Golf Club, Melaka, melibatkan Pengarah IKSN, Ts. Mohd Azmi bin Pelah dan Pengarah Urusan Jeram Golf Management Sdn. Bhd., Encik Faizal Razak. Kerjasama strategik ini akan berkuat kuasa selama lima tahun bermula dari tarikh pemeteraian.
Majlis turut disaksikan oleh Timbalan Pengarah Hal Ehwal Pelajar IKSN, Puan Zuraidah binti Yusoff serta dihadiri barisan pengurusan dan wakil industri.
Dalam ucapannya, Ts. Mohd Azmi menegaskan bahawa industri golf kini bukan sahaja berperanan sebagai sektor sukan dan rekreasi, malah turut menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi serta membuka peluang kerjaya profesional kepada tenaga kerja tempatan.
Sehubungan itu, kerjasama ini memberi tumpuan kepada bidang Perkhidmatan Kedi Golf serta Operasi Golf dan Sukan, khususnya dalam memperkukuh kompetensi dan pengiktirafan kemahiran golongan belia, pelajar, graduan Institusi Latihan Kemahiran Belia dan Sukan (ILKBS) serta tenaga kerja industri sedia ada.
Menerusi kerjasama ini, IKSN dengan sokongan Akademi Kemahiran Belia Golf (AKBG) akan menyediakan kepakaran teknikal dan sokongan institusi, manakala JGA berperanan sebagai Pusat Penilaian Amali – Pengiktirafan Pencapaian Terdahulu (PPA-PPT) yang berdaftar di bawah Jabatan Pembangunan Kemahiran (JPK).
Inisiatif ini membolehkan tenaga kerja industri golf mendapatkan pengiktirafan kompetensi secara rasmi melalui kaedah Pengiktirafan Pencapaian Terdahulu (PPT), sekali gus meningkatkan profesionalisme dan prospek kerjaya mereka.
Selain itu, kerjasama ini turut membuka ruang kepada penempatan pekerjaan, pembangunan laluan kerjaya yang lebih sistematik serta penerapan teknologi dan digitalisasi dalam pengurusan tenaga kerja industri golf.
Majlis diakhiri dengan pertukaran folder kerjasama, penyerahan cenderahati dan sesi bergambar sebagai simbol komitmen kedua-dua pihak dalam memperkukuh ekosistem pembangunan tenaga kerja sukan negara.
Pemeteraian Nota Hasrat ini mencerminkan komitmen berterusan IKSN dalam memperkasakan Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) melalui kerjasama industri yang berimpak tinggi, selaras dengan aspirasi melahirkan tenaga kerja berkemahiran, kompeten dan berdaya saing.
TVET Pilihan Utama Kerjaya
ILKBS Profesional Terunggul
