KLID EXPO 2026 KETENGAH BAKAT TEKNOLOGI HIASAN DALAMAN IKSN

    KLID EXPO 2026 KETENGAH BAKAT TEKNOLOGI HIASAN DALAMAN IKSN

    BANTING, 20 Oktober 2026 – Institut Kemahiran Sukan Negara (IKSN), Kementerian Belia dan Sukan, terus memperkukuh kecemerlangan TVET menerusi penganjuran Kuala Langat Interior Decoration Exposition (KLID Expo 2026) yang berlangsung di Dewan Ibnu Sina IKSN.

    Ekspo inovasi anjuran Jabatan Teknologi Awam IKSN ini menjadi platform untuk mengetengahkan kreativiti, kemahiran teknikal dan hasil inovasi pelajar menerusi pameran serta pembentangan Projek Tahun Akhir (PTA).

    Program ini turut bertujuan memperkukuh hubungan antara institusi latihan, agensi kerajaan, badan profesional dan rakan industri dalam menyokong pembangunan bakat TVET yang kompetitif dan berorientasikan keperluan sebenar industri.

    Sebanyak 8 kumpulan PTA disenaraikan, di mana setiap projek menggabungkan perancangan ruang, konsep reka bentuk dalaman, pemilihan bahan, kerja kemasan serta pembangunan produk inovasi yang menekankan keseimbangan antara fungsi, ergonomik dan nilai estetika.

    Kemuncak KLID Expo 2026 menyaksikan 5 anugerah diberikan sebagai pengiktirafan terhadap kreativiti, kualiti pembentangan, kebaharuan inovasi dan pencapaian PTA pelajar IKSN bersama panel penilai IDr. Ashraf bin Awang, Pegawai Pengesah Luaran dan Dr. Zulkifli bin Marlah@Marlan, Ketua Bahagian Teknologi Multimedia IKSN.

    Anugerah Poster Terbaik diraih oleh Ahmad Sharul bin Zuraihan, Siti Nurzulyana binti Sirazul Fahmi dan Wan Nurqistina Batrisyia binti Wan Azman, di bawah penyeliaan dan penyelarasan Ts. Dr. Mohd Fawwaz Najmi bin Mohd Fuzi, Ketua Jabatan Teknologi Awam IKSN.

    Projek yang melibatkan ruang pejabat Timbalan Pengarah (Pengurusan Latihan) IKSN, mengetengahkan konsep Modern Scandinavian dengan pendekatan minimalis serta memperkenalkan inovasi KLID SoleDry X V2, iaitu rak kasut pelbagai fungsi yang menggabungkan sistem pengeringan, kawalan bau dan penyimpanan dalam satu produk.

    Sementara itu, Anugerah Pembentangan Kumpulan Terbaik menjadi milik Anis Shuhadah binti Kosni, Aisyah Batrisyia binti Ismail dan Tharmesh Naidu a/l Annathurai*, di bawah bimbingan penyelia projek Encik Rashid Azrai bin Rastamajis.

    Projek ini mengaplikasikan konsep Modern Industrial Tropical bagi mentransformasikan Bilik Kuliah 3 kepada persekitaran pembelajaran yang lebih moden, fleksibel dan kondusif.

    Kumpulan tersebut turut membangunkan KLID Formova V2.0, sebuah meja lipat inovatif dengan mekanisme lipatan 90 darjah yang direka untuk mengoptimumkan penggunaan ruang, memudahkan penyimpanan dan menyokong aktiviti pembelajaran serta perbincangan secara lebih praktikal.

    Pengiktirafan individu menerusi Anugerah Pembentang Terbaik pula diraih oleh Siti Nursyasya Diyanah binti Noorazman, yang mewakili projek yang melibatkan transformasi ruang pejabat Timbalan Pengarah (Hal Ehwal Pelajar) IKSN, menggunakan konsep Luxury Contemporary yang menggabungkan elemen kemasan moden, susun atur profesional dan pencahayaan dekoratif.

    Antara inovasi yang diperkenalkan ialah KLID LumaGrid V2.0, sistem rak dan dinding tumpuan multifungsi dengan pencahayaan LED, serta KLID Nexus V2.0, perabot penyimpanan dan paparan maklumat bersepadu.

    Kejayaan paling menonjol turut dicatatkan iaitu Anugerah Inovasi Terbaik dan Anugerah Projek Tahun Akhir Terbaik (Keseluruhan) yang dimenangi oleh Nurlisa Syafiah binti Nor Hasan, Muhammad Aqil Aiman bin Osman dan Nuralyaa Athirah binti Mohamad Faizal, di bawah penyeliaan Encik Muhammad Fariz Najmi bin Fauzi, Pengajar Jabatan Teknologi Awam IKSN.

    Projek yang melibatkan ruang pejabat Pegawai Hubungan Industri IKSN, mengetengahkan konsep Modern Japandi Minimalist yang menggabungkan elemen moden, kesederhanaan dan kemasan berasaskan bahan semula jadi.

    Keunikan projek ini diperkukuh melalui pembangunan KLID Oriva V2.0, sebuah inovasi perabot pelbagai fungsi berasaskan kayu getah yang mengintegrasikan fungsi tempat duduk dan ruang rehat dalam satu reka bentuk praktikal, dengan penekanan terhadap pengoptimuman ruang, kestabilan struktur serta kemudahan penggunaan.

    Kemenangan berganda projek tersebut mencerminkan keupayaan pasukan dalam mengintegrasikan penyelesaian reka bentuk dalaman dengan pembangunan produk inovasi yang mempunyai potensi aplikasi dalam ruang kerja sebenar.

    Secara keseluruhan, KLID Expo 2026 berjaya menonjolkan pencapaian pelajar dalam mengaplikasikan pengetahuan reka bentuk, kemahiran praktikal, penyelesaian masalah dan pembangunan inovasi secara bersepadu.

    Sekali gus memperkukuh peranan IKSN dalam melahirkan tenaga mahir yang inovatif, berdaya saing dan bersedia memenuhi keperluan industri reka bentuk dalaman serta pembangunan kemahiran masa hadapan.

    TVET Pilihan Utama Kerjaya
    ILKBS Profesional Terunggul

    Institut Kemahiran Sukan Negara
    Jalan Sultan Abdul Samad,
    Kampung Sungai Raba,
    42700 Banting, Selangor Darul Ehsan

    No. Telefon : 03-3180 2128
    No. Faks : 03-3180 1667
    Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it.