- Nor Hanifah binti Sukardi
- IKSN Kuala Langat
- Hits: 20
IKSN PERKASA BELIA MELALUI KEMAHIRAN SUKAN PERMOTORAN
Banting - Satu kursus kemahiran yang memfokuskan kepada kemahiran asas penyelenggaran jentera sukan 2 roda (Motosikal) telah berlangsung dengan jayanya bertempat di Bengkel Sukan Permotoran, Institut Kemahiran Sukan Negara (IKSN). Kursus yang dijalankan di bawah Program Future Youth Skills tersebut merupakan satu inisiatif berterusan Kementerian Belia dan Sukan melalui IKSN dalam memperkasa belia dengan ilmu pengetahuan dan kemahiran yang bersesuaian dalam membantu belia menangani kos sara hidup, selain membantu meningkatkan pendapatan belia melalui peningkatan peluang mendapatkan pekerjaan mahupun terlibat dalam keusahawanan berdasarkan kemahiran asas yang dipelajari.
Dalam Kursus Asas Penyelenggaran Jentera Sukan 2 Roda tersebut, IKSN telah berkerjasama dengan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) melibatkan penyertaan belia dari Asrama Sentosa Kuala Lumpur, Pusat Perkembangan Kemahiran Kebangsaan Serendah Selangor dan Rumah Kanak-Kanak Mini Cheras, Selangor. Seramai 20 orang belia berumur lingkungan 15 hingga 18 tahun bersama 4 orang pegawai pengiring telah hadir dengan jayanya ke kursus tersebut. Dalam kursus tersebut, para peserta telah didedahkan dengan ilmu dan kemahiran berkaitan sistem suspensi dan brek pada motosikal. Antara aspek yang diketengahkan adalah kefungsian komponen, keselamatan, penyelenggaraan dan pengoptimuman sistem suspensi dan brek dalam konteks sukan permotoran 2 roda. Para peserta telah diberi peluang untuk merasai sendiri proses menukar minyak suspensi mengikut gred dan spesifikasi yang betul, mengganti minyak brek dan menjalankan proses bleeding, dan seterusnya menukar brek pad pada motosikal mengikut prosedur dan kaedah yang betul.
Tahniah diucapkan kepada semua pihak yang terlibat dalam menjayakan program ini khususnya Ketua Jabatan Sukan Permotoran, Encik Mohd Anwar Siddiq Bin Abd Jalil dan barisan tenaga pengajar pakar Jabatan Sukan Permotoran yang terlibat iaitu Ts. Muzri Affandi Bin Jamaluddin dan Encik Hashim Bin Ibrahim. Diharapkan dengan penganjuran kursus tersebut dapat menarik minta para belia untuk menceburi bidang sukan permotoran dengan lebih mendalam. Semoga ilmu dan kemahiran yang diperoleh para peserta dalam kursus tersebut dapat dimanfaatkan sama ada dalam kehidupan harian mahupun kerjaya di masa hadapan.
TVET Pilihan Utama Kerjaya
ILKBS Profesional Terunggul
#Team IKSN
#Team KBS
#TVET ILKBS
#Malaysia Madani
#Profesional Terunggul
