- Nor Hanifah binti Sukardi
- IKSN Kuala Langat
- Hits: 5
IKSN PROMOSI KEPAKARAN TERAPI SUKAN DI EKSPO INDUSTRI SUKAN 2026
BUKIT JALIL, 9 Oktober 2026 – Jabatan Perkhidmatan Sukan, Institut Kemahiran Sukan Negara (IKSN) telah menyertai Ekspo Industri Sukan 2026 sempena sambutan Hari Sukan Negara (HSN) Peringkat Kebangsaan 2026 yang berlangsung di TM Stadium Nasional, Bukit Jalil, Kuala Lumpur.
Penyertaan ini adalah hasil jemputan Bahagian Pembangunan Kemahiran Belia (BPKB) melalui Institusi Latihan Kemahiran Belia dan Sukan (ILKBS) sebagai usaha mempromosikan program Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) serta memperkenalkan kepakaran IKSN dalam bidang Terapi Sukan kepada masyarakat.
Menerusi reruai pameran, Jabatan Perkhidmatan Sukan IKSN turut menawarkan perkhidmatan Corporate Massage kepada pengunjung sebagai pendedahan mengenai teknik penjagaan tubuh badan, pemulihan otot dan kepentingan terapi sukan dalam menyokong gaya hidup aktif dan sihat.
Ekspo yang dijadualkan berlangsung pada 9 hingga 11 Oktober 2026 itu bagaimanapun hanya sempat dilaksanakan pada hari pertama sebelum pihak penganjur mengumumkan penangguhan program susulan keadaan jerebu. Tarikh baharu penganjuran masih menunggu pengumuman rasmi.
IKSN merakamkan penghargaan kepada Kementerian Belia dan Sukan (KBS) serta pihak penganjur atas peluang penyertaan ini. Penglibatan tersebut mencerminkan komitmen berterusan IKSN dalam memperkasakan TVET, mengetengahkan kemahiran pelajar serta menyokong pembangunan industri sukan negara.
TVET Pilihan Utama Kerjaya
ILKBS Profesional Terunggul
