IKSN RAIH PINGAT PERAK DI PNiCC’26

    IKSN RAIH PINGAT PERAK DI PNiCC’26

    Johor Bahru - Institut Kemahiran Sukan Negara (IKSN), Kementerian Belia dan Sukan, mencatat satu lagi pencapaian membanggakan apabila projek BIM Auto-Checking e-Profiling System™️ (BIMCheck Pro™️) berjaya meraih Pingat Perak dalam Kategori A: Sains Teknologi pada Pertandingan Inovasi & Kreativiti PMJB Peringkat Kebangsaan 2026 (PNiCC’26), yang merupakan penganjuran kali ke-9 oleh Politeknik METrO Johor Bahru (PMJB) di bawah Jabatan Pendidikan Politeknik dan Kolej Komuniti, Kementerian Pendidikan Tinggi, dengan tema “Inspirasi TVET Penggerak Inovatif Digital”.

    Skop pertandingan meliputi 5 kategori utama iaitu Sains Teknologi, Sains Sosial, Pengajaran dan Pembelajaran (PdP), Inventors NextGen dan Business Pitch, diikuti pengumuman pemenang yang dilaksanakan secara dalam talian.

    Dalam pertandingan tersebut, pasukan IKSN terdiri daripada YBrs. Ts. Dr. Mohd Fawwaz Najmi Bin Mohd Fuzi, Muhammad Fariz Najmi Bin Fauzi, Nayli Syazwina Iyazi Binti Abdul Muhaimin, Saidatul Adriana Binti Khairul Nizam, dan Khairun Yasirah Binti Hawalit, daripada Jabatan Teknologi Awam.

    Pencapaian ini amat signifikan kerana PNiCC’26 sendiri digagaskan sebagai medan pencetus idea, pemangkin kreativiti dan platform pengiktirafan hasil inovasi berimpak dalam bidang TVET.

    Ia sekaligus mengharumkan nama IKSN dan menegaskan komitmen institusi dalam memperkasa TVET, penyelidikan gunaan dan inovasi berimpak tinggi yang mampu bersaing di peringkat kebangsaan. Dengan pengiktirafan yang diterima di PNiCC’26, BIMCheck Pro™️ tampil bukan sahaja sebagai satu produk inovasi, tetapi juga sebagai penyelesaian strategik yang menyokong kelulusan bangunan yang lebih selamat, cekap, konsisten dan berteraskan data.

    TVET Pilihan Utama Kerjaya
    ILKBS Profesional Terunggul

    Institut Kemahiran Sukan Negara
    Jalan Sultan Abdul Samad,
    Kampung Sungai Raba,
    42700 Banting, Selangor Darul Ehsan

    No. Telefon : 03-3180 2128
    No. Faks : 03-3180 1667
    Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it.