- Nor Hanifah binti Sukardi
- IKSN Kuala Langat
- Hits: 26
LAWATAN KUNJUNGAN HORMAT IKSN KUALA LANGAT KE IMPRESSIVE TRANSFORM SDN. BHD. (ITSB)
BUKIT RAMBAI - Lawatan Kunjungan Hormat bagi tujuan mengenalpasti potensi dan rangka bentuk kerjasama strategik antara Institut Kemahiran Sukan Negara (IKSN) Kuala Langat dan Impressive Transform Sdn. Bhd. (ITSB) telah diadakan pada 25 Mei 2026 (Isnin) bertempat di premis kilang ITSB, Bukit Rambai, Melaka bermula jam 11.00 pagi.
Lawatan ini bertujuan mengenalpasti potensi syarikat yang akan mengadakan kerjasama strategik dengan pihak IKSN bagi bidang perabot serta membincangkan cadangan skop rangka bentuk kerjasama antara kedua-dua pihak. Delegasi IKSN diketuai oleh Encik Bashirul bin Ismail selaku Timbalan Pengarah Pengurusan Latihan dan diterima oleh wakil pengurusan ITSB.
Impressive Transform Sdn. Bhd. (ITSB) merupakan sebuah syarikat bumiputera yang memiliki tanah seluas 4 hektar dan beroperasi sebagai antara kilang kayu terbesar di negeri Melaka. Syarikat ini mempunyai kemudahan sawmill sendiri dan menjalankan operasi pemprosesan balak getah melalui proses pemotongan dan penyambungan bagi menghasilkan papan (board) bersaiz 4 x 8 inci serta bar kayu sepanjang 8 kaki. ITSB telah beroperasi selama 18 tahun dalam industri perabot merangkumi kayu, panel, besi dan upholsteri, serta menerima geran di bawah Majlis Perindustrian Kayu Malaysia (MTIB).
Nilai tambah yang signifikan turut dikenal pasti menerusi latar belakang CEO ITSB, Haji Farosham bin Naizamohideen, yang juga merupakan Pengerusi Persatuan Industri Kayu Kayan Malaysia (PEKA). Di bawah kepimpinan beliau, PEKA mempunyai keahlian seramai lebih 300 syarikat industri kayu. Kedudukan ini menjadikan potensi kerjasama dengan ITSB sebagai satu peluang strategik yang lebih luas, bukan sahaja dengan syarikat ini malah membuka ruang jaringan dengan industri-industri kayu di bawah naungan PEKA pada masa hadapan.
Produk utama ITSB adalah kerusi dan meja sekolah. Syarikat ini merupakan antara 72 syarikat kayu yang berdaftar di bawah Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) dengan keupayaan pengeluaran mencecah 3,000 unit sebulan. Rekod ini membuktikan tahap keupayaan dan kepercayaan industri terhadap ITSB sebagai pembekal perabot sekolah yang kukuh di peringkat nasional.
Walau bagaimanapun, memandangkan CEO syarikat, Haji Farosham bin Naizamohideen tidak dapat hadir pada hari lawatan, sebarang keputusan berkaitan rangka bentuk kerjasama tidak dapat dimuktamadkan. Pihak ITSB bersetuju agar perbincangan lanjut diteruskan pada peringkat seterusnya apabila CEO dapat hadir.
Sepanjang lawatan, delegasi IKSN turut dibawa melawat operasi kilang ITSB bagi melihat sendiri proses pengeluaran, kemudahan sawmill serta keupayaan pengeluaran semasa syarikat.
Secara keseluruhannya, lawatan ini berjalan lancar dan berjaya membuka ruang perbincangan awal yang positif dalam usaha memperluaskan kerjasama strategik antara IKSN dan industri perabot tempatan.
TVET Pilihan Utama Kerjaya
ILKBS Profesional Terunggul
#TeamILKBS #TeamKBS #KitaSemuaTeamMAS #TVETMalaysia #MalaysiaMADANI #MADANIBekerja #RancakkanMADANI
