Sepang - Institut Kemahiran Sukan Negara (IKSN), Kementerian Belia Dan Sukan sekali lagi membuktikan keupayaan inovasi TVET apabila projek BIM Auto-Checking e-Profiling System™ (BIMCheck Pro™) telah berjaya meraih Pingat Emas sekaligus merangkul pengiktirafan Anugerah Projek Terbaik bagi Kategori Teknologi Maklumat, Telekomunikasi Dan Kecerdasan Buatan (AI) dalam Pertandingan Final Year Project (FYP) Dan Pitching Peringkat Kebangsaan 2026 (ProPitch 2026) yang berlangsung di Institut Kemahiran Tinggi Belia Negara (IKTBN) Sepang.
IKSN telah membawa pulang hadiah berupa wang tunai RM500.00, sijil penghargaan dan trofi pertandingan yang telah disampaikan oleh YBhg. Dato’ Rahimi Bin Ismail, Ketua Setiausaha Kementerian Belia Dan Sukan kepada Pengarah IKSN, YBrs. Ts. Mohd Azmi Bin Pelah, sebagai simbol pengiktirafan terhadap pencapaian IKSN di pentas ProPitch 2026.
Manakala IKSN telah diwakili oleh pelajar-pelajar Semester 6 dalam bidang teknologi hiasan dalaman iaitu Nur Haslina Binti Saifol, Noor Fakhriah Binti Ni Aznan dan Siti Nursyasya Diyanah Binti Noorazman, dengan bimbingan penyelia projek, Ts. Dr. Mohd Fawwaz Najmi Bin Mohd Fuzi, Ketua Jabatan Teknologi Awam IKSN.
Pertandingan ProPitch 2026 anjuran IKTBN Sepang telah berlangsung pada 4 hingga 5 Ogos 2026 dengan membawa aspirasi “Innovate to Elevate: Smart Digital & Green Innovation”.
Program ini menjadi platform pertandingan inovasi dan pembentangan projek TVET yang menghimpunkan idea kreatif, penyelesaian teknologi serta projek berimpak daripada pelbagai institusi kemahiran di peringkat kebangsaan.
Pencapaian ini amat signifikan kerana BIMCheck Pro™ bukan sahaja dinilai dari aspek idea dan reka bentuk inovasi, malah turut diuji melalui keupayaan pasukan menyampaikan nilai projek secara jelas, meyakinkan dan kompetitif dalam ‘Pitching’.
Antara elemen pemarkahan yang ditekankan dalam ProPitch 2026 adalah kebaharuan inovasi, keberkesanan kos dan masa, potensi aplikasi, kualiti impak, potensi komersial serta kekuatan persembahan dan penyampaian.
Melalui BIMCheck Pro™, IKSN memperlihatkan bahawa kemahiran teknikal, penyelidikan gunaan dan transformasi digital mampu digabungkan secara strategik bagi menghasilkan penyelesaian yang relevan dengan keperluan industri, sektor awam dan pembangunan modal insan negara.
Malah ia memperkukuh komitmen institusi dalam melahirkan warga TVET yang kreatif, analitikal, berdaya saing dan bersedia menerajui agenda inovasi negara berasaskan teknologi pintar, pendigitalan serta pembangunan kemahiran masa hadapan.
TVET Pilihan Utama Kerjaya
ILKBS Profesional Terunggul
#IKSN
#KBS
#ILKBS
#TVETMalaysia
#MalaysiaMadani
