- Nor Hanifah binti Sukardi
- IKSN Kuala Langat
- Hits: 29
KUKUHKAN INTEGRITI DAN PENGIKTIRAFAN WARGA KERJA IKSN
BANTING - Institut Kemahiran Sukan Negara (IKSN) telah mengadakan Perhimpunan Bulanan IKSN Bilangan 2/2026 bertempat di Dewan Ibnu Sina, Institut Kemahiran Sukan Negara, bermula jam 8.00 pagi hingga 11.00 pagi dengan penyertaan pegawai, kakitangan dan para pelajar IKSN.
Majlis telah disempurnakan oleh YBrs. Ts. Mohd Azmi bin Pelah, Pengarah Institut Kemahiran Sukan Negara (IKSN. Dalam amanatnya, beliau menekankan kepentingan budaya kerja berprestasi tinggi, integriti, disiplin dan semangat kerjasama dalam memastikan IKSN terus melahirkan modal insan TVET sukan yang berkualiti serta mampu memenuhi aspirasi kementerian dan negara.
Majlis dimulakan dengan bacaan Yasin dan doa selamat, nyanyian lagu Negaraku dan Negeri Selangor, diikuti bacaan Ikrar Rukun Negara sebagai simbolik memperkukuhkan semangat patriotisme, perpaduan dan jati diri warga IKSN.
Hadirin dipertontonkan dengan Video Keselamatan oleh Jawatankuasa Keselamatan dan Kesihatan Pekerja (JKKP) IKSN serta tayangan video program dan aktiviti IKSN bagi tempoh April hingga Jun 2026, yang memaparkan pelbagai pencapaian, program latihan dan aktiviti institusi sepanjang suku tahun kedua.
Sebagai menghargai sumbangan warga institusi, majlis turut menyaksikan penyampaian Anugerah Khas Pekerja Terbaik Bulanan (AKPTB), penyampaian Sijil Penghargaan kepada Ahli MBJ IKSN Sesi 2024/2025, serta simbolik penyampaian Medal Inovasi kepada warga yang telah menyumbang idea dan inovasi dalam meningkatkan kecemerlangan organisasi.
Perhimpunan turut memberi penghargaan kepada para pelajar melalui Sesi Penyampaian Anugerah Pelajar, melibatkan kategori Bilik Asrama Terbersih, Peminjam Buku Perpustakaan Terbanyak dan Kehadiran Surau Terbaik. Pengiktirafan ini diharap dapat menyemarakkan semangat kecemerlangan dan membentuk sahsiah pelajar yang holistik.
Majlis diakhiri dengan sesi bergambar sebelum semua warga IKSN bersurai pada jam 11.00 pagi.
Penganjuran Perhimpunan Bulanan IKSN Bilangan 2/2026 bukan sahaja menjadi platform penyampaian maklumat dan amanat pengurusan, malah memperkukuhkan hubungan silaturahim antara warga institusi, di samping menyemai budaya kerja cemerlang selaras dengan aspirasi IKSN untuk melahirkan atlet berilmu, negara terbilang.
