- Nor Hanifah binti Sukardi
- IKSN Kuala Langat
- Hits: 33
LUNCHEON TALK - BAGAIMANA MENJADI PROFESSIONAL MASSEUR BERJAYA
Banting, 17 September 2026 - Satu forum bertajuk "Forum Luncheon Talk" dengan topik "Bagaimana Menjadi Professional Masseur Yang Berjaya" telah diadakan, disiarkan secara live streaming di Facebook Institut Kemahiran Sukan Negara (IKSN) Kuala Langat. Forum ini berlangsung bermula jam 9.30 pagi sehingga 10.45 pagi.
Forum ini dianjurkan oleh Cawangan Hubungan Industri, Institut Kemahiran Sukan Negara (IKSN). Encik Mohamad Ali bin Ahamed daripada Cawangan Hubungan Industri, IKSN Kuala Langat bertindak sebagai moderator forum ini. Forum ini menghadirkan tiga orang panel iaitu Dr. Mohd Ridzuan bin Bainan Hadi dari Matt Senam, Meridian Physiotherapy; Encik Mohd Shahmil bin Mazeli, Ketua Bahagian Terapi Sukan; dan Encik Muhammad Zharfan bin Muhammad Zailan, Sport Therapist yang merupakan alumni IKSN dan kini berkhidmat dengan Persatuan Badminton Malaysia (BAM).
Sepanjang forum ini, panel-panel telah berkongsi mengenai laluan atau perjalanan mereka untuk menjadi seorang professional therapist, cabaran-cabaran yang dihadapi oleh seorang professional masseur, serta perbezaan di antara ‘tukang urut’ dengan seorang professional masseur. Panel turut berkongsi mengenai bidang-bidang yang ditawarkan dalam bidang terapi sukan di Institut Kemahiran Sukan Negara, kelebihankelebihan menjadi seorang professional masseur, serta kaedah dan laluan yang boleh diikuti oleh mereka yang berminat untuk menceburi bidang ini, termasuklah peluang untuk membuka perniagaan sendiri dalam bidang professional masseur.
Panel turut menekankan bahawa Institut Kemahiran Sukan Negara merupakan antara pelopor penting dalam bidang terapi sukan dan telah berjaya melahirkan ramai professional masseur serta sport therapist yang berjaya, dengan Encik Muhammad Zharfan bin Muhammad Zailan sendiri menjadi salah satu contoh kejayaan yang dihasilkan oleh IKSN dalam bidang ini.
Sesi forum turut diisi dengan sesi soal jawab, di mana panel-panel telah menjawab soalan-soalan yang dikemukakan oleh audiens. Diharapkan program seumpama ini dapat diteruskan pada masa akan datang bagi memberi kesinambungan kepada Institut Kemahiran Sukan Negara secara amnya, dan bidang terapi sukan secara khususnya, serta dapat memberikan impak yang baik kepada semua pihak yang terlibat.
Sebagai tanda penghargaan, sesi forum ini diakhiri dengan penyampaian cenderahati kepada panel-panel yang disampaikan oleh Ketua Cawangan Hubungan Industri, Encik Mohamad Aizuddin bin Sae'don.
Disediakan oleh :
MOHAMAD ALI BIN AHAMED
CAWANGAN HUBUNGAN INDUSTRI
