- Nor Hanifah binti Sukardi
- IKSN Kuala Langat
- Hits: 28
MAJLIS PENYERAHAN PROJEK SIAP PEROLEHAN PERALATAN DAN NAIK TARAF FASILITI IKSN
KUALA LANGAT, 6 Oktober 2026 – Institut Kemahiran Sukan Negara (IKSN) hari ini menerima secara rasmi projek siap Perolehan Peralatan dan Naik Taraf Fasiliti bagi Keperluan Latihan Terapi Sukan (Lelaki & Wanita) menerusi satu majlis penyerahan yang berlangsung di perkarangan bangunan baharu Terapi Sukan, IKSN.
Penyerahan ini melibatkan projek fizikal yang dilaksanakan oleh Jabatan Kerja Raya (JKR) Daerah Kuala Langat sebagai penguasa projek.
Acara dimulakan dengan ucapan oleh Ir. Hanif bin Latif, Jurutera Daerah Kuala Langat selaku Pegawai Penguasa, diikuti ucapan oleh Ts. Mohd Azmi bin Pelah, Pengarah Institut Kemahiran Sukan Negara (IKSN).
Seterusnya, sesi menandatangani Perakuan Kerja Siap oleh pihak JKR dan Kementerian Belia dan Sukan (KBS) melalui IKSN diadakan, sekali gus menandakan penyempurnaan dan penyerahan rasmi projek tersebut.
Sebagai simbolik penyerahan, kunci bangunan baharu Terapi Sukan telah diserahkan oleh Ir. Hanif bin Latif mewakili JKR kepada Ts. Mohd Azmi bin Pelah mewakili IKSN.
Pelaksanaan projek ini melibatkan kerja-kerja naik taraf fasiliti bagi menyiapkan ruang pejabat, gimnasium dan studio untuk memenuhi keperluan latihan Terapi Sukan lelaki dan wanita. Kemudahan yang disediakan bakal memperkukuh proses pengajaran dan pembelajaran serta memberi ruang latihan yang lebih kondusif kepada pelajar dalam meningkatkan kompetensi dan kemahiran praktikal bidang Terapi Sukan.
Turut hadir ialah wakil Kementerian Belia dan Sukan, JKR Selangor, JKR Kuala Langat, pasukan perunding dan kontraktor, serta pegawai dan warga IKSN.
TVET Pilihan Utama Kerjaya
ILKBS Profesional Terunggul
