NEXT STEP YOUTH PROGRAM BERSAMA AKADEMI KEMAHIRAN BELIA GOLF (AKBG)

    NEXT STEP YOUTH PROGRAM BERSAMA AKADEMI KEMAHIRAN BELIA GOLF (AKBG)

    Sabak Bernam - Akademi Kemahiran Belia Golf (AKBG), Institut Kemahiran Sukan Negara (IKSN) telah dijemput oleh Jabatan Kebajikan Masyarakat Daerah Sabak Bernam Selangor bagi menjayakan Program Kemahiran Next Step Youth Program Pasukan Kebajikan Kanak-Kanak (PKKK) dan Pasukan Pelindungan Kanak-Kanak (PPKK) Daerah Sabak Bernam, Negeri Selangor Tahun 2026.

    Program yang dianjurkan oleh Unit Kanak-Kanak, Pejabat Kebajikan Masyarakat Daerah (PKMD) Sabak Bernam Selangor dengan kerjasama Pasukan Kebajikan Kanak-Kanak (PKKK) dan Pasukan Pelindungan Kanak-Kanak (PPKK) ini bertujuan memberi pendedahan awal kepada golongan belia tempatan mengenai bidang kemahiran dan kerjaya dalam industri golf, khususnya dalam Perkhidmatan Kedi Golf yang semakin mendapat permintaan dalam sektor sukan dan rekreasi negara.

    Program telah berlangsung di Pusat Aktiviti Kanak-Kanak (PAKK) Taman Gemilang, Sabak Bernam, Selangor dengan penyertaan seramai 20 orang belia tempatan. Peserta terdiri daripada golongan belia yang baru menamatkan persekolahan dan sedang mencari peluang melanjutkan latihan kemahiran serta membina laluan kerjaya yang lebih terarah.

    Pelaksanaan program ini merupakan satu inisiatif yang signifikan dalam memperkasakan belia melalui pendedahan kepada latihan kemahiran yang berpotensi tinggi, sekali gus meningkatkan tahap kebolehpasaran mereka dalam dunia pekerjaan. Program ini turut memberi kesedaran bahawa bidang industri golf bukan sahaja menawarkan peluang sebagai atlet, malah membuka ruang kerjaya dalam bidang operasi golf, perkhidmatan kedi, pengurusan padang golf dan sektor hospitaliti sukan.

    Sepanjang program berlangsung, para peserta telah mengikuti pelbagai pengisian yang interaktif dan bermanfaat, antaranya taklimat mengenai Program Latihan Bidang Perkhidmatan Kedi Golf, taklimat Bidang Operasi Golf dan Sukan, sesi simulasi permainan golf, serta booth pendaftaran terbuka bagi pengambilan pelajar baharu Akademi Kemahiran Belia Golf untuk Sesi Julai 2026. Para peserta turut diberi peluang berinteraksi secara langsung bersama tenaga pengajar bagi mendapatkan maklumat mengenai prospek kerjaya dan laluan latihan yang ditawarkan.

    Program ini dikendalikan oleh dua orang tenaga pengajar berpengalaman daripada Akademi Kemahiran Belia Golf, iaitu Encik Rosmene bin Rasid, Ketua Jurusan Operasi Golf dan Sukan, serta Encik Muhammad bin Md Yusoff, Ketua Jurusan Perkhidmatan Kedi. Mereka dibantu oleh Cik Addlina, Personel MySTEP, yang turut memainkan peranan dalam memastikan kelancaran perjalanan program sepanjang sesi berlangsung.

    Turut hadir memeriahkan program ialah Wan Zubaidah binti Wan Salleh, Pegawai Kebajikan Masyarakat Daerah Sabak Bernam, yang menyatakan penghargaan kepada Akademi Kemahiran Belia Golf atas kesudian berkongsi kepakaran serta membuka peluang kepada golongan belia untuk mengenali bidang kemahiran yang mempunyai potensi besar dalam pasaran pekerjaan.

    Melalui penganjuran program seumpama ini, diharapkan lebih ramai golongan belia akan memperoleh pendedahan terhadap bidang kemahiran yang relevan dengan keperluan industri semasa, seterusnya meningkatkan keyakinan diri, membina kemahiran insaniah dan teknikal serta membuka peluang kepada mereka untuk melanjutkan latihan kemahiran dan membina kerjaya yang lebih mampan pada masa hadapan.

    "Melahirkan Belia Berkemahiran, Membina Masa Depan Gemilang."

    Institut Kemahiran Sukan Negara
    Jalan Sultan Abdul Samad,
    Kampung Sungai Raba,
    42700 Banting, Selangor Darul Ehsan

    No. Telefon : 03-3180 2128
    No. Faks : 03-3180 1667
    Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it.