PELAJAR IKSN TERLIBAT SEBAGAI JURUTEKNIK PETRONAS YAMAHA 31 RACING

    PELAJAR IKSN TERLIBAT SEBAGAI JURUTEKNIK PETRONAS YAMAHA 31 RACING

    BATU KAWAN, PULAU PINANG, 16 Ogos 2026 – Tahniah diucapkan kepada Pasukan PETRONAS SPRINTA YAMAHA – 31 RACING atas kejayaan cemerlang memenangi Round 4 Malaysia Cub Prix 2026 yang berlangsung di Stadium Negeri Pulau Pinang, Batu Kawan pada 15 hingga 16 Ogos 2026.

    Lebih membanggakan, kejayaan tersebut turut membuka peluang kepada dua pelajar Semester 4 Institut Kemahiran Sukan Negara (IKSN), Jabatan Teknologi Sukan Permotoran untuk menimba pengalaman industri apabila terlibat sebagai juruteknik bersama pasukan berkenaan. Mereka ialah Muhammad Shahelmi Safuan bin Tajolmolod dan Muhammad Daniel bin Masrun.

    Penglibatan kedua-dua pelajar ini merupakan satu peluang berharga dalam memberikan pendedahan secara langsung terhadap persekitaran kerja sebenar dalam industri sukan permotoran. Mereka juga bakal menjalani latihan industri selama tiga bulan, sekali gus membolehkan kemahiran dan pengetahuan yang diperoleh di IKSN diaplikasikan dalam situasi sebenar.

    Pasukan PETRONAS SPRINTA YAMAHA – 31 RACING turut mencatat keputusan cemerlang dalam kedua-dua kategori yang dipertandingkan. Dalam kategori CP125, pelumba 31 Racing, Md Farid Hakimi Farid Sezli muncul juara dengan catatan masa 13:46.500, diikuti Md Syamil Amsyar M Iffende di tempat kedua dengan masa 13:46.610.

    Manakala dalam kategori WIRA, Nuzzul Ady Muhammad Sudin muncul juara dengan catatan masa 11:12.381, diikuti Raja Abdurraqib Raja Norfatihah di tempat kedua dengan masa 11:13.091.

    Kejayaan tersebut menyaksikan 31 Racing mencatat dua kemenangan dan empat podium, selain menghasilkan keputusan 1-2 dalam kedua-dua kategori CP125 dan WIRA. Kemenangan Nuzzul Ady dalam kategori WIRA juga merupakan kemenangan sulung beliau dalam kategori tersebut.

    IKSN merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih kepada Team Principal PETRONAS 31 Racing, Mr. K. Sivanesan, atas peluang dan kepercayaan yang diberikan kepada pelajar IKSN untuk bersama pasukan sepanjang perlumbaan.

    Penghargaan turut diberikan kepada para pengajar yang sentiasa memberikan sokongan dan komitmen dalam menjayakan penglibatan pelajar, khususnya Ts. Muzri Affandi bin Jamaluddin, Tc. Mohd Shazly Farith bin Mohd Ilias dan Encik Hashim bin Ibrahim yang turut membantu urusan penghantaran dan pengambilan pelajar di lokasi pasukan.

    IKSN turut merakamkan penghargaan kepada pihak pengurusan atas sokongan padu dalam menjayakan program dan peluang pembelajaran berasaskan industri ini.

    Diharapkan penglibatan pelajar dalam program seperti ini dapat memberikan pendedahan yang lebih luas terhadap industri sukan permotoran, di samping memperkukuh kemahiran teknikal, pengalaman kerja dan keyakinan pelajar sebagai persediaan menghadapi alam pekerjaan kelak.

    Tahniah kepada Pasukan PETRONAS SPRINTA YAMAHA – 31 RACING dan syabas kepada kedua-dua pelajar IKSN atas pencapaian serta peluang yang telah diperoleh.

    #IKSN
    #TeamKBS
    #MalaysiaCubprix2026
    #Teknologisukanpermotoran
    #motorsports
    #TVET.ILKBS
    #ProfessionalTerunggul
    #MalaysiaMadani

    Institut Kemahiran Sukan Negara
    Jalan Sultan Abdul Samad,
    Kampung Sungai Raba,
    42700 Banting, Selangor Darul Ehsan

    No. Telefon : 03-3180 2128
    No. Faks : 03-3180 1667
    Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it.