PERHIMPUNAN BULANAN IKSN SEMARAK SEMANGAT KECEMERLANGAN WARGA INSTITUT

    PERHIMPUNAN BULANAN IKSN SEMARAK SEMANGAT KECEMERLANGAN WARGA INSTITUT

    KUALA LANGAT, 25 September 2026 – Institut Kemahiran Sukan Negara (IKSN) telah mengadakan Majlis Perhimpunan Bulanan bagi bulan Julai, Ogos dan September 2026 di Dewan Ibnu Sina, IKSN.

    Majlis menghimpunkan pegawai, kakitangan dan pelajar bagi mengimbas pencapaian serta pelaksanaan pelbagai program dan aktiviti sepanjang suku ketiga tahun 2026.

    Pengarah IKSN, Ts. Mohd Azmi bin Pelah dalam amanatnya menegaskan bahawa perhimpunan bulanan bukan sekadar acara rutin, sebaliknya ruang untuk menilai pencapaian, mengenal pasti kelemahan serta menentukan tindakan penambahbaikan.

    Beliau turut mengingatkan bahawa setiap pengiktirafan bukan sekadar penghargaan, tetapi satu amanah, manakala kejayaan yang dicapai perlu menjadi dorongan untuk terus mengekalkan dan meningkatkan prestasi.

    Warga kerja IKSN turut diseru membudayakan sikap konsisten, melaksanakan tanggungjawab dengan amanah serta sentiasa menjaga kualiti kerja walaupun tanpa pujian atau perhatian.

    “Apa yang kita lakukan dengan baik hari ini mesti kita lakukan dengan lebih baik pada hari esok,” antara amanat beliau dalam menyeru seluruh warga IKSN memperkukuh integriti, disiplin dan profesionalisme.

    Kepada para pelajar, beliau mengingatkan bahawa masa muda tidak boleh diulang dan setiap peluang sepanjang berada di IKSN perlu dimanfaatkan untuk membina kemahiran, disiplin, keyakinan diri serta sahsiah sebagai persediaan menghadapi alam pekerjaan.

    Beliau turut menegaskan bahawa warga IKSN perlu meninggalkan budaya “ini bukan tugas saya” dan menggantikannya dengan semangat “ini tanggungjawab kita bersama” dalam membina institusi yang lebih cemerlang.

    Mengakhiri amanatnya, Pengarah IKSN menyeru seluruh warga institut supaya tidak sekadar menyelesaikan tugas, tetapi bekerja untuk menghasilkan kecemerlangan serta berani menjadi sebahagian daripada perubahan.

    “Jangan kita bekerja sekadar untuk menyelesaikan tugas. Bekerjalah untuk menghasilkan kecemerlangan. Jangan kita menunggu perubahan. Jadilah sebahagian daripada perubahan.”

    Majlis turut dimeriahkan dengan persembahan nasyid dan pidato oleh pelajar sebelum diteruskan dengan sesi penyampaian Anugerah Khas Pekerja Terbaik Bulanan (AKPTB) bagi Julai, Ogos dan September 2026 (Encik Mohamad Aizuddin bin Sa'édon, Ketua Cawangan Hubungan Industri dan Encik Arif Afandi bin Wisman Sikumbang, Pengajar Bidang Terapi Sukan), sijil dan pingat Pertandingan iDEA, hadiah Program Semarak Merdeka 69, hadiah Kuiz Keselamatan serta hadiah Pertandingan Perarakan Maulidur Rasul SAW 1448H.

    Program Semarak Merdeka 69 merupakan anjuran bersama Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) dan Perpustakaan IKSN, manakala Kuiz Keselamatan dianjurkan oleh Jawatankuasa Latihan dan Promosi JKKP.

    Majlis bagi pegawai dan kakitangan kemudiannya ditutup dengan ‘Memori Bahagia’, iaitu sambutan hari lahir warga IKSN bagi bulan Julai, Ogos dan September 2026.

    TVET Pilihan Utama Kerjaya
    ILKBS Profesional Terunggul

    Institut Kemahiran Sukan Negara
    Jalan Sultan Abdul Samad,
    Kampung Sungai Raba,
    42700 Banting, Selangor Darul Ehsan

    No. Telefon : 03-3180 2128
    No. Faks : 03-3180 1667
    Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it.