Kuala Langat - Program Sukaneka bertemakan “Sukan Untuk Semua” berlangsung meriah di Dewan Ibnu Sina IKSN bagi menggalakkan kerjasama dan gaya hidup sihat dalam kalangan pegawai institut.
Program anjuran Biro Sukan dan Rekreasi Kelab KEKAL itu menghimpunkan pegawai pelbagai bahagian dalam aktiviti sukan santai yang dirancang khusus untuk memupuk keseronokan serta meningkatkan interaksi sesama rakan setugas.
Majlis perasmian pembukaan dan penutupan disempurnakan oleh Pengerusi Kelab KEKAL, Puan Zuraidah Binti Yusoff yang menzahirkan penghargaan kepada semua pegawai atas komitmen menjayakan program tahunan tersebut.
Sebanyak empat kumpulan menyertai pertandingan berkenaan dengan setiap pasukan mempamerkan kreativiti tersendiri ketika berentap dalam lima permainan utama yang merangkumi Bottle Spy, Balloon Worm, Musical Cup, Candy Chop Challenge dan Balloon Survival.
Setiap permainan menguji kemahiran koordinasi, ketangkasan, strategi serta kebolehan peserta bekerjasama dalam kumpulan yang seterusnya mewujudkan suasana penuh sorakan dan gelak tawa di seluruh dewan.
Keputusan akhir menyaksikan Kumpulan 4 muncul juara dengan 68 mata diikuti Kumpulan 3 yang meraih 40 mata manakala Kumpulan 2 dan Kumpulan 1 masing-masing mengutip 38 mata serta 23 mata.
Puan Zuraidah berkata, “Sukaneka ini membuktikan bahawa aktiviti santai mampu memperkukuh perpaduan selain meningkatkan kesejahteraan warga kerja dalam suasana kerja yang semakin mencabar”.
