‘Warriors of Malaya’ Terbang ke Shanghai : Malaysia Gempur Kejohanan Dunia Drone Soccer 2025

    Pasukan ‘Warriors of Malaya’ yang mewakili Malaysia kini bersiap sedia untuk menyertai FAI World Drone Soccer Championships (FAIWDSC) 2025 yang akan berlangsung di Shanghai, China dari 15 hingga 18 November 2025.

    FAIWDSC 2025 dijangka menarik penyertaan lebih 18 negara, termasuk Korea Selatan, Jepun, Amerika Syarikat, dan Perancis — negara yang mempunyai tradisi kukuh dalam sukan ini.

    Pegawai serta pelajar dari Jabatan Teknologi Multimedia Institut Kemahiran Sukan Negara (IKSN) iaitu Ketua Jurulatih, Badrul Hisyam bin Ahmad Jalaludin bersama dua pemain iaitu Muhammad Norman Hasyrique bin Lokman dan Alif Faizuddin bin Mohd Zaidi, antara 12 pemain & empat pegawai yang bakal menggalas cabaran Malaysia.

    Menurut Badrul Hisyam, penyertaan kali ini bukan sekadar untuk bersaing, tetapi juga sebagai platform memperkukuh kedudukan Malaysia dalam arena sukan udara berteknologi tinggi.

    “Pasukan ini telah menjalani latihan intensif selama beberapa bulan dengan fokus kepada strategi penerbangan, kawalan formasi dan taktikal serangan” katanya.

    Pasukan Malaysia turut menerima sokongan padu daripada Malaysian Sports Aviation Federation (MSAF) serta CIAST Shah Alam dan ADTEC JTM Kampus Mersing, yang menjadi pusat latihan utama bagi sukan Drone Soccer di Malaysia.

    Dengan semangat “Tanah Tumpah Darahku”, pasukan ini diharap dapat mengharumkan nama negara dan membawa pulang kejayaan di pentas antarabangsa.

    Institut Kemahiran Sukan Negara
    Jalan Sultan Abdul Samad,
    Kampung Sungai Raba,
    42700 Banting, Selangor Darul Ehsan

    No. Telefon : 03-3180 2128
    No. Faks : 03-3180 1667
    Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it.