SIDANG KETIGA ISTIADAT KONVOKESYEN ILKBS KE-21 TAHUN 2026

    SIDANG KETIGA ISTIADAT KONVOKESYEN ILKBS KE-21 TAHUN 2026

    SIDANG KETIGA ISTIADAT KONVOKESYEN ILKBS KE-21 TAHUN 2026

    PUTRAJAYA, 14 September 2026 – Sidang Ketiga Istiadat Konvokesyen Institusi Latihan Kemahiran Belia dan Sukan (ILKBS) Ke-21 Tahun 2026 telah berlangsung dengan penuh gemilang dan disempurnakan oleh YB Mordi Bimol, Timbalan Menteri Belia dan Sukan.

    Turut hadir YBrs. Encik Abdullah bin Hasan, Timbalan Ketua Setiausaha (Pengurusan), Kementerian Belia dan Sukan (KBS) serta YBrs. En. Mohd Sukri Ismail, Pengarah Kemahiran, Bahagian Pembangunan Kemahiran Belia, KBS.

    Sidang ketiga ini menyaksikan YB Timbalan Menteri Belia dan Sukan menyampaikan sijil tamat latihan kepada 130 belia Orang Kurang Upaya (OKU) yang telah berjaya menamatkan Program Latihan Kemahiran Belia Autisme dan Berkeperluan Khas.

    Selain itu, empat anugerah utama turut disampaikan sebagai pengiktirafan terhadap pencapaian dan sumbangan warga ILKBS serta lepasan institusi, iaitu Anugerah Pekerja Cemerlang Lepasan ILKBS 2026 kepada Tc. Mohd Irsaad bin Roostham, Anugerah Usahawan Cemerlang Lepasan ILKBS 2026 kepada Encik Malik bin Tanginang, serta Anugerah ILKBS Terbaik 2026 yang diterima oleh IKTBN Bukit Mertajam.

    Bagi Anugerah iTrainer 2026, tiga kategori turut dipertandingkan, iaitu i-Inspire Trainer Award yang dianugerahkan kepada Encik Mohd Safik bin Saprawi, i-Excellent Trainer Award kepada Cik Ailen Gee binti Yuwitin dan i-Innovation Trainer Award kepada Ts. Mohd Zulaffandi bin Abdullah.

    Sidang Ketiga Istiadat Konvokesyen ILKBS Ke-21 Tahun 2026 bukan sekadar meraikan pencapaian akademik dan kemahiran, malah menjadi simbolik kepada perjuangan, ketekunan serta semangat para graduan dalam melangkah menuju masa depan.

    Pencapaian ini turut mencerminkan komitmen ILKBS dalam memperkasa pembangunan bakat dan melahirkan generasi tenaga mahir yang berkemahiran, kompeten serta berdaya saing bagi memenuhi keperluan industri dan menyokong agenda Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) negara.

    Tahniah dan syabas diucapkan kepada seluruh graduan ILKBS Ke-21 Tahun 2026. Semoga ilmu, kemahiran dan pengalaman yang diperoleh menjadi bekalan untuk terus melangkah dengan yakin serta menjadi generasi peneraju TVET Malaysia.

    Bahagian Pembangunan Kemahiran Belia,
    Aras 3, Menara KBS,
    Kementerian Belia & Sukan Malaysia,
    No 27, Persiaran Perdana,Presint 4,
    Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan,
    62570, Putrajaya, Malaysia

    No Tel :- +60 3-8871 3646
    Emel : pertanyaanbpkb@kbs.gov.my